Sambungan...
Anak mata hitam itu tajam merenung ke satu arah. Hanya sesekali matanya berkedip hanya apabila terasa matanya pedih. Patung.
“Aku benci kau!” Teriaknya
dengan sekuat-kuat hatinya. Suaranya bergema kuat di dalam bilik itu. Hanya
sedikit melodi teriakan itu menerobos ke luar.
Sebilah pisau digenggamannya
ditikam berkali-kali pada tilam. Habis span di dalam tilam terkeluar. Kemudian,
tilam itu juga ditoreh-toreh sehingga hatinya puas.
Matanya yang merah semakin berair. Beberapa
detik kemudian, air matanya terus mengalir selaju aliran air di sungai. Dari
bunyi esakan yang perlahan bertukar menjadi raungan.
Hampir sebulan dia meratap. Menyendiri di
dalam bilik yang gelap bercahayakan lilin. Keadaan dirinya sangat jauh berbeza
berbanding sebelum berlakunya kejadian yang menyeksakan dirinya. Yang menjadi
jawapan apa yang menjadikan dirinya kini.
Dia tidak pernah menyangka
bahawa tunangnya telah mencurangi dirinya. Malahan tunangnya juga meninggalkan
dia demi jejaka lain. Dia langsung tidak boleh menerima kenyataan itu.
“Ariana. Kenapa kau buat aku
macam ni?” Jelas getaran kesedihan dalam suaranya. Sayang hati Ariana tewas
untuk terus setia setelah mengharungi detik-detik pahit dan manis bersama.
Bukan mudah untuk dia memenangi hati keluarga Ariana. Sudah terlampau banyak
dugaan yang terpaksa dia tempuhi.
Patung pemberiannya buat Ariana
telah dipulangkan kembali kepadanya setelah kisah kecurangan wanita yang
dicintainya itu terbongkar. Perlahan-lahan dia bangun dan mengambil patung
perempuan itu. Kepala patung itu dikerat menggunakan gunting dengan
berhati-hati.
Sebaik sahaja kepala patung
berpisah dari tubuhnya, pantas pergelangan tangannya dihiris dengan sebilah
pisau tanpa ragu. Darah merah pekat yang mengalir dititiskan ke dalam badan
patung itu. Kemudian dia mencantumkan kembali kepala dan badan patung itu
dengan sisa tenaga yang ada walaupun jahitannya itu sudah tidak kemas.
Walaupun tubuhnya sudah tidak
mampu menanggung kesakitan, dia masih tersenyum. Tergambar riak kepuasan di
wajahnya. Seolah-olah suatu perasaan yang selama ini telah menghempap,
menghimpit dan menikam-nikam dadanya selama ini telah pergi. Pergi jauh dari
dirinya dan tak akan kembali lagi.
“Aku bersumpah... aku akan membalas
dendam kepada sesiapa yang curang.” Ujarnya sambil tangan kanannya memegang
pergelangan tangan kirinya yang telah dikelar.
Tidak lama selepas itu, tubuh
kurus itu terbaring di atas lantai. Tiada lagi tenaga di dalam dirinya.
Semuanya mengalir bersama darahnya.
“Aku bersumpah...” Ayat terakhir
yang berjaya diungkapkannya sebelum nyawanya pergi meninggalkan jasad.
Pada waktu yang sama, seorang
wanita sedang mengetuk-ngetuk pintu rumah lelaki itu dengan gopoh. Wajahnya
seperti orang yang sedang risau.
Tetapi dia tidak tahu. Tiada apa
lagi yang harus dirisaukan. Roh lelaki itu telah pergi. Dan sudah tidak akan
dapat diseru kembali. Betapa lelaki itu terlampau lemah menghadapi dugaan.
Kemudian barulah wanita itu
teringatkan sesuatu. Dia mengangkat pasu di tepi pintu itu. Ada kunci. Tanpa
meminta kebenaran, segera dia masuk ke dalam rumah itu. Langkahnya segera
menuju ke pintu biliknya yang tidak berkunci lalu ditolak perlahan.
Terkakulah wanita itu di pintu.
Lututnya terasa begitu lemah. Dia terus terjelepok jatuh melutut. Tangannya
masih memegang bingkai pintu. Bibirnya terketar-ketar mahu mengungkapkan
sesuatu.
“Ar... Arman?” Mata Arman
seolah-olah masih merenungnya. Renungan kebencian.
“Maafkan Ariana.”Air mata Ariana
mengalir deras. Dia tahu dia sudah terlambat. Ariana memukul pehanya sendiri
berkali-kali. Dia terasa seperti dirinya dihukum. Kini Ariana tidak tahu sama
ada dia perlu menangis dia atas kematian lelaki yang benar-benar mencintai
dirinya ataupun takut dengan pandangan mata Arman.
Kemudian, Ariana melangkah
perlahan-lahan ke arah jasad tidak bernyawa itu. Lalu duduk di sisi tubuh
Arman. Tangan Arman yang sudah tidak berdetak nadinya digenggam kuat. Lalu
jari-jemari itu diletakkan ke pipinya. Tangan kaku itu seolah-olah mengelus
pipinya seperti selalu.
Entah bagaimana mata Ariana
terpandang patung di sisi tubuh kaku Arman. Dia masih ingat bahawa patung itu
merupakan hadiah hari lahirnya daripada Arman. Patung perempuan di sisi mayat
itu diambil dan dipeluk erat. Dikucupnya sepuas hati walaupun patung itu sudah
dicemari dengan darah.
“Arman... Maafkan Ariana. Ariana
tau Arman cintakan Ariana. Maafkan Ariana sebab Ariana tinggalkan Arman. Tapi
Ariana baru sedar yang Arman dah banyak berkorban untuk Ariana.” Kata-kata nya
terhenti seketika untuk mengambil nafas.
“Arman dah buktikan betapa Arman
sangat cintakan Ariana. Sangat sangat... Kenapa Arman buat macam ni? Kalau tak
kita boleh mulakan balik perhubungan kita. Maafkan Ariana sebab Ariana dah
menyeksa Arman sampai macam ni.” Mata Ariana melihat tubuh Arman yang sudah
kurus kering. Hatinya asyik berdenyut kesal.
“Tapi bila Arman buat macam
ni.... Arman lagi menyeksa Ariana sampai mati!” Kata Ariana seperti marah.
Entah marahkan kesalahan dirinya atau marahkan Arman yang mengambil keputusan
terburu-buru sebegitu.
Ariana tidak mengetahui ada
‘sesuatu’ di dalam bilik itu yang memerhati setiap perbuatannya. Sesuatu yang
Ariana tidak boleh melihat tapi boleh merasa. Tiba-tiba sahaja dia berasa
tengkuknya seperti dihembus angin hangat. Nafas.
Pantas kepala Ariana menoleh ke
belakang. Tiada apa. Sesungguhnya dia tidak mengetahui sumpahan yang menanti
dirinya.
“Arman?” Dia mula meneka.
Kemudia terasa sekali lagi hembusan hangat di tengkuknya. Bibir Ariana mula
mengukir senyum.
..........
“Hahaha... Arman ingat lagi
tak.” Tiba-tiba sahaja Ariana terhenti katanya apabila pintu biliknya diketuk
kuat. Mulutnya mencebik geram. Kenapa mesti ada sahaja gangguan?
“Ariana cakap dengan siapa?”
Salmah bertanya kepada anaknya. Ariana cuma mengelengkan kepalanya. Dahi Salmah
berkerut-kerut.
‘Mustahil. Tadi aku dengar suara
Ariana bergelak sakan.’
“Mak. Mana ada siapa kat sini.
Ariana nak sambung tidur balik ni. Makpun pergilah tidur.” Salmah mengangguk
dan perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam biliknya sambil memikirkan apa
yang sedang berlaku. Suaminya yang sedang tidur di atas katil digerakkan
sehinggalah Haji Muin bangun dari tidur. Dia memandang wajah isterinya sebelum
duduk.
“Apa ni gerak abang malam-malam
buta ni. Ada apa?” Soal Haji Muin kepada isterinya. Salmah mengambil tempat di
sisi suaminya.
“Abang. Tadi Salmah dengar lagi
Ariana macam cakap dengan seseorang.” Haji Muin mengeleng kepalanya beberapa
kali. Mukanya diraup perlahan.
“Dah berapa malam abang tunggu
depan bilik anak kita. Senyap aje. Tak adapun abang dengar suara dia cakap
dengan siapa-siapa.” Salmah masih tidak berpuas hati. Kedengaran Haji Muin
menghembus nafas. Terlampau banyak benda yang berlaku belakangan ini.
Kecurangan anaknya. Kematian Arman membunuh diri.
“Habis tu suara siapa yang awak
dengar?” Salmah mengetap bibir. Payah untuk dia menjawab soalan itu. Namun
dijawab juga dengan perlahan.
“Arman.” Nama seorang lelaki
yang sengaja dia meletakkan banyak syarat untuk diterima sebagai menantu. Haji
Muin terus tersentak.
...........
“Ariana sayang...” Suara garau
itu menyedarkan Ariana dari lamunan semasa menyikat rambut. Pantas dia menoleh
ke belakang. Jelas tubuh Arman di hadapannya kini. Segera dia mencapai tangan
Arman dan dipimpinnya ke katil. Kepala Ariana dilentokkan ke bahu kekasih
hatinya.
“Ya
Arman. Mana Arman pergi? Lama tak jenguk Ariana. Arman dah tak sayangkan
Ariana?” Soal Ariana perlahan. Air mata rindunya sudah tidak mampu
ditahan-tahan lagi. Arman memeluk bahu Ariana. Tangannya yang sebelah lagi pula
mengusap wajah Ariana. Seperti biasa.
“Arman
sentiasa cintakan Ariana. Sentiasa cintakan Ariana. Sampai Ariana curangkan
Arman, Arman masih mencintai Ariana. Walau sampai Arman mati...” Pantas jari
telunjuk Ariana hinggap pada bibir Arman. Disentuh pada bibir merah Arman.
“Ariana
nak dengar yang Arman cinta Ariana. Bukan tentang curang. Bukan tentang...
mati.”Ayat terakhir, Ariana sengaja melambat-lambatkan. Kemudian dia memandang
tepat ke wajah muram Arman.
“Maafkan
Ariana sebab sakitkan Arman. Berikan Ariana merasakan kesakitan yang Arman
pernah rasa.” Barulah Arman tersenyum girang. Inilah senyuman pertama yang
Ariana terima semenjak Arman wujud kembali dalam hidupnya. Ariana terus memeluk
tubuh itu dengan seerat mungkin.
Tapi
tak lama. Arman membuka pelukan gadis itu. Dia melutut di hadapan Ariana.
Ariana tertanya-tanya.
“Betul
Ariana nak rasa betapa sakitnya hati Arman? Buktikan. Jangan cuma cakap sahaja.
Buktikan yang sekarang Ariana cintakan Arman semula.” Dengan penuh pengharapan
Arman berkata. Ariana terus mengangguk.
“Jadi
Ariana sekarang kena ikut cakap Arman.” Sekali lagi Ariana mengangguk. Baginya
ini satu-satunya cara untuk dia menghapuskan rasa bersalahnya terhadap Arman.
Arman
mengerling matanya ke sesuatu di atas meja Ariana. Pin yang besar dan tajam itu
diambil sebelum dia duduk di sisi Ariana semula.
“Ariana
nak tahu. Masa mula-mula Ariana tinggalkan Arman, sakit dia rasa macam ni.”
Jari telunjuknya ditekan ke dalam pin sehingga keluar sedikit darah. Mata
Ariana membasah sekali lagi.
“Tapi...
Lama-lama luka kecil itu semakin meluas. Meluas sehingga ke seluruh diri
Arman.” Kali ini pin itu ditoreh berkali-kali di tapak tangannya. Mulut Ariana
melopong. Dia tidak sangka Arman melakukan perbuatan sebegitu.
Mata
Arman merenung mata Ariana sedalam-dalam mungkin. Ingin diteroka apa di dalam
hati Ariana melalui sepasang mata itu. Tiba-tiba sahaja Ariana mengambil pin
itu dari tangan Arman. Dia ingin melakukan sebagaimana Arman telah buat. Namun
tangan Arman tiba-tiba mengenggam tangan Ariana.
“Buat
di tempat yang mereka tak boleh nampak. Ariana tak nak mereka jadi penghalang
lagikan? Lebih-lebih lagi mak Ariana.” Arman berkata sambil tersenyum. Ariana
mengangguk faham. Dilipat lengan bajunya. Matanya dipejam rapat. Dibenamkan pin
itu ke dalam lengannya. Ukiran-ukiran tidak berseni mula terukir. Bibirnya
diketap apabila dia terbayangkan penyeksaan yang telah Arman lalui.
...........
“Sekarang
tiba masanya untuk pengakhiran.” Bisik Arman di tepi telinga Ariana. Kali ini
Ariana tersenyum lesu. Bibirnya yang dahulu sentiasa lembab dengan lipbalm kini
sudah kering dan mengelupas. Mukanya pula tiada berseri lagi.
“Pengakhiran?”
“Ya.
Pengakhiran. Pengakhiran yang gembira.” Dahi Ariana masih berkerut tidak faham
dengan kata-kata Arman. Arman memegang wajah Ariana dengan lembut.
“Apa yang
lebih indah selepas melalui pelbagai penyeksaan. Selain... kematian?” Kata-kata
itu ditutur dengan lembut. Ariana mula ceria. Kini baru dia mengerti kenapa
Arman mengambil keputusan yang dikatakan tindakan yang pernah dianggap paling
bodoh.
“Ariana
nak ikut Arman? Kita sama-sama selamanya.”
“Ariana
memang tunggu Arman cakap macam tu. Ariana nak sentiasa bersama Arman.”
Senyuman
Arman semakin melebar. Tangannya mengelus rambut panjang Ariana.
“Mula-mula
Ariana kena pergi ke dapur. Jangan bagi siapa-siapa sedar tau. Ambil...” Arah
Arman. Ariana tersenyum kecil sebelum pantas bangun dari pembaringan. Dia
membuka pintu perlahan-lahan. Kakinya dijengket menuju ke arah dapur seperti
yang diarahkan oleh Arman. Tangannya baru mencapai sesuatu...
“Ariana
buat apa tu?” Terus Ariana terasa seperti jantungnya mahu melompat keluar. Dia
terus menoleh memandang Haji Muin. Haji Muin memandang tangan Ariana yang
memegang sebiji epal dan sebilah pisau.
“Lapar...”
Ujar Ariana sambil tersengih. Haji Muin juga tersenyum. Lega apabila Ariana
sudah mahu makan setelah tiga hari dia berkurung di dalam bilik. Haji Muin cuma
mengangguk apabila Ariana meminta izin hendak makan buah epal di dalam bilik.
“Dah.”
Arman memegang bahu Ariana.
“Okay.
Mula-mula Ariana kena pejamkan mata.” Kemudian Arman berdiri di belakang
Ariana. Disuruhnya Ariana membuka mulut. Disumbatnya buah epal ke dalam mulut
gadis itu. Jari-jemarinya mengenggam tangan Ariana. Dirapatkan tangan Ariana ke
leher Ariana sendiri.
Dahi
Ariana mula berpeluh. Dia baru sedar bahawa dia masih punya banyak dosa. Masih
banyak benda yang dia belum buat. Malangnya kini tubuhnya sudah beku. Tidak
mampu bergerak langsung. Lama-kelamaan pisau itu benar-benar di kerongkongnya.
Ariana cuma mampu menelan air liurnya.
“Kau
tahu Ariana apa punca aku bunuh diri...” Bisik Arman di telinga Ariana.
“ Kau.
Kau puncanya.” Ujarnya sambil mengetap giginya. Selepas itu digelengkan
kepalanya.
“Bukan
kau. Tapi anak kau. Kau jangan ingat aku tak tahu kau mengandungkan anak lelaki
tak guna tu!” Jerit Arman. Ariana cuma mampu mengerutkan dahinya.
“Aku
tau. Mak kau tak akan terima cucu haram dia. Sebab tu kau nak suruh aku jadi
pak sanggup. Kau jangan ingat aku tak tahu Ariana sayang...” Nada suara Arman
semakin menurun. Perlahan-lahan pisau itu ditekan ke kerongkong itu. Sehingga
mengalir darah merah membasahi baju Ariana.
Pap.
Tubuh
itu terus jatuh ke lantai. Di dalam gelap. Gelapnya bilik. Gelapnya malam. Dan
gelapnya dendam.
..........
“Perempuan
bodoh. Dia ingat aku hadap sangat dengan dia? Dah matipun aku tak nak dengan
kaulah!” Jerit Arman. Matanya meliar mencari mangsa baru. Masih tiada yang
boleh menepati cita rasanya. Tangannya masih memegang patung sumpahannya. Entah
siapa yang ‘bertuah’ akan menerima hadiah patung itu.
Arman
berjalan di tengah-tengah ramainya manusia. Tiada siapa yang menyedari
kehadirannya. Tiada siapa yang sedar kewujudannya. Tiada siapa yang merasa
apabila berselisih dengannya.
“Ya
sayang. Maira busylah. Bos bagi kerja banyak. Tak dapatlah nak keluar
sama-sama. Hrmm... okay. Janji. Bye!” Bibir gadis itu terus mengetap bibir
sambil dahinya berkerut setelah panggilan itu ditamatkan. Pada mulanya Arman
cuma melangut di hadapan gadis itu.
Memerhati
tubuh gadis seksi itu. Dari atas sehingga bawah. Tiada apa yang terlepas dari
pandangannya. Dia juga memerhati gadis itu mula mendail sebuah nombor.
“Hello
Jack. What? Dinner? I boleh je. Tapi wife you tak marah ke? Oh... Outstation? Patutlah
hihihi. Nakal you ni tau. Eh?” Gadis itu mengetap bibir sekali lagi. Tapi kali
ini mengetap bibir menahan jeritan keseronokkan. Wajahnya terpancar
kegembiraan. Arman yang duduk mencangkung di hadapan gadis itu masih
memerhatinya. Menunggu.
“Nak bermalam
kat rumah I? Erm. Okay. Sunyi? Tak apalah kan malam nanti kita jumpa. Time
biasakan? Mestilah nanti I pakai baju cantik-cantik. Hihihi. Love you too Jack.
Muah.” Gadis itu memasukkan telefon pintarnya ke dalam beg tangannya. Bibirnya
terukir senyuman. Dalam masa yang sama Arman juga tersenyum.
“Interesting...
My dear next target.”
Sebenarnya ini permulaan yang menerangkan siapa Arman. Hehehe. Jadi dah baca jangan lupa komen tau! ^^
gila seram betul cerita nih . cerita yang akak buat sendiri eh ?
BalasPadamyup. itupun kalau tak ter'sama' dengan cerita lain. harapan. hahaha
Padamseram tau.. haha.. ariana ariana.. :'(
BalasPadamheehe... seram? padan muka dengan ariana *kejam*
PadamHahaha Suka suka suka, tidak menghampakan !! Macam biasa tau, kalau ada sambungan bagitauuuu =D Tak sabarrrrrrrrr =D
BalasPadamhahaha... nak sambung lagi? tak berani jamin aaa
Padamohmy haha seram gila. teringat pulak dgn ariana grande -.- haha lol
BalasPadamariana grande? siapa tu.. hahaha tak tau. *googling*
Padam