Yo! Ini Tabung Duit

Pengikut

Jumaat, 9 Januari 2015

Cerpen : MEMORI tentang DIA DARI HATIKU

                Helaian akhbar diselak pantas oleh jari jemari aku yang tidak sabar melihat senarai siaran televisyen yang akan ditayangkan pada hari ini. Mata aku segera menangkap pada suatu sudut akhbar yang menulis mengenai drama-drama edisi khas yang akan ditayangkan sepanjang bulan ini.

                Aku sedikit kecewa apabila melihat tajuk cerita yang akan ditayangkan pada malam ini. Cikgu Rihanna Anak Orang Kaya tajuknya. Sinopsis dibaca dan aku hanya menghela nafas kekecewaan.

                “Macam tak best je.”Aku bercakap sendiri. Aku melihat ke arah jam yang jarumnya sudah menunjuk tepat pukul tiga setengah petang. Memikirkan aku yang tiada apa rancangan untuk dilakukan pada malam ini membuatkan mata aku terkebil-kebil memandang tajuk drama itu kembali.

                “Nak buat macam mana. Setakat nak isi masa kosong aku. Mintak-mintak bestlah cerita tu.” Sekali lagi aku bercakap sendirian. Aku terus melemparkan akhbar yang baru selesai dibaca di tangan ke lantai. Nanti aku juga yang kena kemas.
..........
                Lagi lima minit jam pukul sepuluh malam. Aku sudah siap sedia mengambil tempat di atas sofa yang berhadapan dengan televisyen. Biasalah orang solo tinggal sendiri. Aku tersenyum kecil. Kesunyian? Buat apa nak couple-couple ni. Kalau betul seseorang itu ikhlas, dia akan terus masuk meminang aku.

                Aku terus menepuk dahi. Sempat pula aku mengelamun tentang jodoh. Tinggal lagi dua minit, cerita tersebut akan bermula. Alat kawalan jauh yang tadi hanya terbiar di atas meja kecil di hadapan aku dicapai dan ditekan punatnya. Cermin gelap skrin tadi, kini sudah dihiasi dengan cahaya berwarna warni.

                Dah mula rupanya. Mesti jam dinding aku dah lambat. Sekali lagi. Posisi aku yang tadinya duduk dengan tegak sudah bergolek. Ah, bestnya. Paket Twisties sudah aku buka, tinggal untuk diseluk dan dimakan sahaja. Aku mula menumpukan perhatian ke arah skrin televisyen semula.
...........
   Tap. Tap. Tap.

                Bunyi kasut tumit tinggi mengisi kesunyian pagi. Irama yang rancak. Milik siapa? Mestilah milik aku dan milk seorang gadis manis di sebelah aku. Adik aku. Rambutnya diikat kemas. Matanya pula terarah ke skrin telefon bimbit pintar di tangan. Biasalah trend orang sekarang. Baik orang muda mahupun orang tua. Leka dengan telefon pintar.

                Dua jejaka di hadapan aku pula adalah pekerja papa aku. Oh lupa pula aku tentang papa aku yang sedang berjalan dibelakang aku. Sebaik sahaja pandangan kami bertemu, papa terus menghadiahkan senyuman yang manis. Rambutnya yang disapu gel dan disikat ke belakang. Haih hensemnya. Patutlah ramai perempuan nak mengurat papa.

                Tapi papa tak pernah tergoda. Hatinya masih setia kepada arwah mama yang telah meninggalkan kami buat selama-lamanya pada lima tahun lepas. Aku memandang semula ke hadapan. Dua pekerja papa pula sudah sampai ke hadapan dan memandang ke suatu arah. Bunyi hon yang bertalu-talu memaksa aku dan adik aku mempercepatkan langkah. Tapi adik aku yang sampai dahulu. Kedua-dua pekerja papa pula sengaja menolak adik aku dan adik aku pula berpura-pura mahu memukul mereka.

                ‘Sunyinya pagi aku tanpa mereka’Aku tersenyum sendiri. Sebelum aku tiba bersama mereka, pekerja papa di kiri adik aku terlebih dahulu memandang ke arah aku. Dia yang tinggi lampai. Rambut disikat kemas. Begitu tampan dalam pakaian seragamnya. Sempat menghulurkan senyum kepadaku. Senyuman yang selalu membuat aku berasa keliru dengan perasaan sendiri.

                Aku melihat pekerja papa di kanan adik aku juga turut melihat ke arah aku. Senyumannya boleh tahan manisnya. Namun senyumnya tidak sehebat Si Tinggi Lampai yang mampu mendebarkan hati bila memandang. Kulitnya yang hitam manis. Walaupun tidak begitu tinggi, dia masih tinggi dari aku dan berbadan tegap.

                Segan betul aku dengan kedua-dua pekerja papa. Dua-dua tampan. Aduhai... Kenapa mesti papa mengambil pekerja yang muda-muda dan tampan? Aku cuma tersenyum sipu ke arah mereka.

                Bunyi hon masih lagi membingitkan pendengaran telinga. Aku memandang ke arah sebuah kereta sport yang diparkir dihadapan pagar rumah banglo kami. Seorang pemuda kacak yang telah berjaya menambat hatiku sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Dialah yang empunya tuan badan yang bernama Syafiq. Sudah tugasnya menghantar aku ke sekolah yang aku bertugas sebagai seorang guru. Pendidik anak bangsa.

                Sebaik sahaja Syafiq melihat aku, dia terus melambaikan tangan ke arahnya. Aku juga membalas lambaiannya. Aku melihat ke kiri dan ke kanan aku. Papa, adik dan pekerja-pekerja papa juga melambai ke arah Syafiq. Cuba mengajuk aku.

                “Isk kacau je.”Terus mereka gelakkan diri aku bila melihat bibir aku sudah mencebik. Tak sampai sepuluh saat, aku juga ketawa. Syafiq menggamit aku. Isyarat supaya aku segera masuk ke dalam keretanya.

                Aku segera berlari menuruni tangga. Sempat aku melayangkan flying kiss kepada mereka yang aku tinggalkan. Pekerja Si Tinggi Lampai ditugaskan sebagai pemandu Papa. Manakala Si Hitam Manis pula ditugaskan untuk menghantar adik ke universiti.

                Senyuman Syafiq semakin melebar apabila aku berada di sisinya. Dia kelihatan seperti bad boy dalam jaket hitamnya. Tapi itulah yang aku suka!

                Seperti biasa kami akan bercakap bercakap dan bercakap sambil Syafiq memandu. Bercakap tentang apa sahaja. Kami tidak pernah kekeringan idea semasa bersembang. Dan dia juga seorang pendengar yang baik.

                “Hah! Ada tak cikgu baru yang hensem dekat sekolah tu.” Soal Syafiq. Macam cemburu sahaja bunyinya. Soalan itu diajukan apabila aku memberitahu ada beberapa orang cikgu praktikal yang sedang menjalani latihan di sekolah tempat aku mengajar.

                Aku tersenyum nakal sebelum menjawab soalan itu. Aku mengangguk untuk mengiyakan persoalan itu. Syafiq geram dengan jawapan tersebut. Tangan kirinya menarik tudung aku. Segera aku menepis tangannya.

                “Apa ni. Penat tau aku pakai tudung ni. Berbelit-belit pulak tau.”Syafiq ketawa besar.

                “Siapa suruh kata cikgu praktikal tu lagi hensem dari aku.” Balasnya.

                “Ada aku kata diorang lagi hensem dari kau?” Soal aku kembali. Syafiq cuma tersenyum. Senyuman yang sentiasa membuat aku rindukan dirinya. Dia mengaggukkan kepalanya beberapa kali.

                “Maknanya aku mamat paling hensem dalam carta hati kaulah kan?”Dia sudah mula tersenyum nakal.

                Aku mengeleng. Jari telunjuk kanan aku luruskan.

                “Tak. Mula-mula Papa.” Kemudian jari hantu pula diluruskan.

                “Lepas tu Abang Man.” Si Tinggi Lampai. Akhir sekali aku luruskan jari manis kananku.

                “Last sekali...” Aku cuba buat saspens.

                “Aku?” Teka si dia.

                “Tak. Abang Khai.” Si hitam manis.

                “Isk sampai hati...” Cebik Syafiq. Aku pula gelakkan dia. Kemudian, kami segera menukar topik perbicaraan kami.

                “Dah sampai.”Ujar Syafiq sambil memberikan sebuah senyuman semangat kepada aku. Sebenarnya kereta itu berhenti bukan di hadapan sekolah tempat aku mengajar. Tapi masih tidak begitu jauh untuk aku berjalan. Sengaja kerana aku tak mahu kecoh di sekolah itu. Biarlah aku kekalkan low profile diri aku.

                Tapi pagi ini, aku dapat merasakan sesuatu kelainan. Dari pagi aku bangun tidur. Jumpa dengan semua orang. Masuk ke dalam kereta Syafiq. Bersembang dengan dia. Dan sampai ke sini. Jalan yang sunyi aku tatap dengan pandangan kosong.

                Syafiq mencuit bahu aku dengan pen. Aku memandangnya.

                “Cepatlah nanti lambat.” Aku segera keluar dari kereta Syafiq. Dia melambai dan aku membalas lambaian itu. Berdesup bunyi enjin kereta sport itu. Aku lambai sehingga kereta itu pergi. Pergi meninggalkan aku.

                Sesi pengajaran berjalan seperti biasa. Lega. Kini waktu rehat dan tibalah masa untuk para cikgu dan murid-murid untuk berehat. Aku menggeliat badan yang sudah letih. Kemudian baru aku sedar ada beberapa anak murid yang ternampak aku. Aku cuma tersengih kepada mereka.

                Beberapa orang murid masih lagi turun dari kelas mereka di tingkat atas. Berebut-rebut mereka berjalan. Sudah lapar sangat agaknya. Sudah reda murid-murid turun, barulah aku menggunakan tangga itu.

                Aku yang mesih memegang beberapa buah buku berjalan berhati-hati menuruni tangga. Tapi rupa-rupanya masih ada seorang murid perempuan bergegas berjalan menuruni tangga. Rambutnya bertocang dua dengan wajah comel berbaju kurung.

                Tapi cara dia melompat melangkau turun dari tangga membuatkan darah aku berderau. Bimbang pula dia terjatuh bergolek walaupun ini tingkat terakhir.

                “Hei... Jangan! Nanti...”Baru aku hendak menegah. Aku sudah nampak tubuh kecil itu sedang melayang. Kalau jatuh bergolek ke atas lantai, aduh tak sanggup! Tangan aku ingin mencapai tangan anak kecil itu. Buku-buku aku biarkan jatuh bertaburan. Tapi aku sendiri juga tersadung ke bawah. Sempat aku memeluk tubuh itu. Aku terjatuh.

                Aku membuka pandangan dan aku melihat murid itu masih dalam keadaan baik. Ramai orang mengelilingi aku. Bunyi hingar bingar. Bunyi tapak kasut semakin ramai mengelilingi aku. Mata aku semakin berat. Gelap.

                ‘Jangan. Jangan jadikan ini pengakhiran aku!’ Rintih hatiku.
..........
                Pandangan aku gelap. Kejap mata aku masih terpejam. Bagaikan baru bangun tidur.

                ‘Segarnya’. Akupun membuka mata. Kehijauan pagar pokok di hadapan yang aku nampak terlebih dahulu.

                “Kejap. Tadi bukan tadi aku jatuh ke? Kenapa aku ni? Kenapa aku tak rasa sakit?” Tangan aku memegang tangan kaki aku. Elok. Apa dah jadi.

                “Cikgu.”Suara seorang wanita dari belakang menyedarkan aku dari lamunan. Wanita itu menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan aku. Aku terkebil-kebil seketika sebelum menyambut salam itu. Bibirnya terhias dengan senyuman yang manis.

                “Saya Cikgu Ayu. Awak Cikgu Sarakan?”Aku mengangguk. Perasaan pelik mula menguasai diri. Macam mana dia tahu nama aku?

                “Macam mana tahu?”Tanya aku sambil mengerutkan dahi. Begitu banyak persoalan memenuhi benak aku. Sesak.

                Sekali lagi dia tersenyum.

                “Sepatutnyakan Cikgu Sara hari mula-mula mengajar dekat sini. Tapi tadi saya nampak cikgu hampir pitam dekat pagar. Jadi saya tolong bawa cikgu duduk dekat sini dulu. Nah, minum.” Cikgu Ayu menyuakan sebotol air mineral. Teragak-agak juga aku mengambilnya.

                Mata aku melihat pemandangan sekolah sambil minum air botol tersebut.

                “Bentuk sekolah ni memang lain betul dengan sekolah yang aku mengajar. Macam mana aku sampai sini?”Bisik aku. Mujurlah Cikgu Ayu tak dengar. Isk, pelik pelik.

                “Jomlah cikgu. Perhimpunan dah nak mula.”Walaupun pelik, aku kena ikut juga Cikgu Ayu. Aku tak nak duduk seorang diri dekat tempat yang aku tak tahu. Maka, terpaksalah aku mengikut langkah dia.

                Dari jauh aku sudah melihat guru-guru yang sedang berdiri menyanyikan lagu sekolah. Lagu sekolah yang asing dari pendengaran telinga aku. Aku dan Cikgu Ayu berdiri tegak menghormati lagu tersebut.

                “Abang Man?” Nama itu terpacul tanpa aku kawal apabila aku terpandangkan seseorang yang aku kenali. Kenapa Abang Man boleh berada di antara cikgu-cikgu di situ?

                Cikgu Ayu memandang aku dengan riak terkejut terpancar di wajahnya.

                “Cikgu cakap pasal Cikgu Arman ke?” Memang betul nama Abang Man ialah Arman. Tapi macam mana dia boleh ada di sini. Tak ini mesti mimpi. Tadi akukan jatuh. Entah-entah sekarang ni aku tengah tidur atau koma. Aku cuba membuat andaian sendiri.

                “Tak. Cuma saya perasan Cikgu Arman tu macam kenalan saya.”Aku cuba mengawal riak wajah dengan senyuman yang dibuat-buat. Cikgu Ayu mengangguk disusuli tawa kecil tercetus dari bibirnya.

                “Cikgu Sara nak tahu. Sebenarnya Cikgu Arman tu baru masuk dalam sekolah ini bulan lepas. Umur dia baru dua puluh enam. Tapi dia tu ramai peminat. Yang kelakarnya, pengetuapun suka dekat dia.”Mulut Cikgu Ayu dijuih ke arah seorang wanita empat puluhan yang sedang bercakap di mikrofon. Kemudian dia segera meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Aku juga tertawa kecil. Abang Arman pula tiga puluh enam. Pasti Abang Man juga kacak seperti dia semasa umurnya dua puluh enam.

                Kemudian aku pandang semula ke arah Cikgu Arman. Ya, memang wajahnya sebiji seperti Abang Man. Bezanya rambutnya lebih kemas dengan potongan rambut belah tepi masih disapu gel. Wajahnya lebih kemas dan dicukur licin. Ya, memang kacak.

                Sedangkan waktu dia jadi pemandu papa dah kacak, inikan penampilannya sekarang. Cop! Jangan cakap yang aku dah syok dekat Cikgu Arman. Tak. Hati aku masih lagi dengan Syafiq.

                ‘Tapi... Kenapa aku tak sedar lagi dari pengsan ni? Cepatlah sedar!’ Harapan menggunung dalam hati.

                Kemudian Cikgu Ayu menyuruh aku ke hadapan untuk memperkenalkan diri aku sebagai guru baru. Aku menyedut seberapa banyak oksigen ke dalam paru-paru. Semakin dekat aku menghampiri ke pengetua yang sedang tersenyum, semakin aku berdebar.

                Kini aku berjalan di hadapan Cikgu Arman. Ya, memang tak syak lagi. Seperti klon abang Man. Kebetulan pula matanya bertembung dengan mata aku.

                Dub Dab.

                Aku rasa aku boleh dengar sendiri bunyi degup jantung sendiri.

                ‘Aduhai hati jangan berpaling tadah. Syafiq mungkin tengah menunggu kau di alam nyata!’ Marah aku pada diri sendiri.

                Pengetua memberikan mikrofon di tangannya kepada aku. Aku menelan air liur. Memandang murid-murid yang beratur di hadapan aku. Berpakaian baju putih dan biru laut bagi perempuan manakala putih dan hijau tua bagi lelaki.

                “Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Cikgu Sara. Saya dari Kuala Lumpur. Di sini saya akan mengajar subjek bahasa Melayu.” Dengan lancar ayat-ayat itu dituturkan. Tapi, ayat-ayat itu tidak aku rancang. Seolah-olah bukan diri aku sendiri yang bercakap. Aku keliru!

                Aku berpaling ke arah pengetua. Dia tersenyum apabila semua guru dan murid-murid bertepuk tangan meraikan kehadiran aku. Aku terpaksa mengulum senyum paksa.

                Beberapa jam kemudian, semuanya masih berjalan lancar. Cikgu Ayu juga seperti selesa dengan aku. Dia mengajak aku untuk makan di kantin bersama-sama.

                Secara automatik aku teringatkan kejadian terakhir aku terjatuh di tangga. Adakah akan berulang lagi sekali dan aku akan sedar? Aku tak sanggup nak melihat wajah Cikgu Arman yang buat hati ini menjadi tak tenteram. Biarlah aku melihat wajah Syafiq sekali lagi. Kenapa kita terpisah?

                “Cikgu Sarra jom kita duduk dekat situ.”Aku bersetuju. Di tangan aku hanya secawan air sirap. Sedangkan di tangan Cikgu Ayu terdapat sepinggan nasi lemak dan secawan air teh.

                “Cikgu tak makan?”Soalnya. Aku hanya mengeleng. Macam mana aku nak berselera selepas semua benda yang tak logik berlaku pada diri aku.

                “Ehem.”

                Cikgu Arman? Aku melihat Cikgu Ayu sudah tersenyum malu. Kalaulah dia tahu ada klon Cikgu Arman yang kerja sebagai pemandu papa aku. Kalaulah dia tahu...

                “Boleh saya duduk dekat sini.”Dia meminta izin. Waktu rehat yang memenuhi ruang rehat guru memaksa dia duduk bersama kami. Oh tuhan, apakah ini ujian Mu? Sekali lagi aku teringatkan Syafiq.

                Cikgu Arman duduk apabila Cikgu Ayu mengizinkannya berbuat demikian. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku rasa geram. Aku langsung tidak memandang wajahnya. Walaupun dia rancak bersembang dengan Cikgu Ayu, aku pekakkan telinga. Aku taknak melihat dia, apatah lagi mendengar suaranya yang... Entahlah. Aku Cuma mengacau air batu di dalam cawan sambil melihat murid-murid yang sedang berjalan di tepi tingkap bilik rehat guru.

                “Cikgu Sara!”Suara Cikgu Arman meninggi. Aku terpinga-pinga. Apa yang aku dah buat?

                Cikgu Ayu mengerutkan dahinya. Aik, tak pernah tengok orang termenung ke?

                “Saya tanya tadi. Cikgu kenapa taknak makan.”Soal Cikgu Arman. Prihatinlah pula dia dekat aku. Sedangkan kalau boleh aku nak lari jauh-jauh dari sini.

                “Maaf. Saya termenung. Tak perasan pula cikgu tanya saya. Sebenarnya saya tak ada selera.”Hanya alasan itu sahaja yang paling logik.

                “Oh. Teringatkan orang jauh ke?”Gedegup! Sekali lagi aku boleh dengar bunyi degup jantung aku sendiri. Darah mengalir pantas ke seluruh tubuh. Panas. Tabuh aku rasa panas. Soalan tadipun panas juga.

                ‘Memang aku teringatkan orang jauh. Aku tak tahu macam mana aku nak kembali kepada dia. Aku nak jumpa dia pun tak dapat. Aku rindu dia!’ Bentak hati aku. Kalaulah jawapan itu boleh menutup menutup mulut Cikgu Arman. Alangkah bagusnya kalau begitu.

                Cikgu Ayu pula tersenyum suka. Bukannya aku tidak tahu makna tersirat dari pandangan matanya. Aku terpaksa mengeleng. Cikgu Arman tersenyum. Diapun senyum? Sabarlah wahai hati.

                “Kalau tak ada selera, mungkin saya ada penawarnya.”Ujarnya sambil menghulurkan sebuah bekas makanan. Tangan aku tanpa dikawal terus mengambil bekas tersebut dan membuka penutupnya.

                Bau aroma gulai ikan masin menambat selera aku. Tiba-tiba sahaja aku jadi lapar. Lepas itu apa jadi? Aku makan lauk itu dengan penuh selera.

                Adat bumi berputar. Walaupun di ‘alam lain’, pagi pasti berpasangan dengan malam. Jangan ditanya kepada aku bagaimana aku boleh tinggal serumah dengan Cikgu Ayu atau dirumahnya aku disuruh memanggilnya Ayu sahaja.

                “Sara. Sinilah.”Aku mengambil tempat di sebelahnya menonton televisyen. Wajahnya ditoleh kepada aku.

                “Kau tahu. Cikgu Arman pesan kepada aku. Dia ajak kau keluar hari Sabtu nanti.”Ujarnya dengan ceria. Aku mengangguk bersetuju.

                ‘Eh kenapa aku setuju? Syafiq?’ Hati aku berbisik mengingatkan aku kepada si dia yang aku tidak dapat tatap. Gambarpun tiada. Rupanya juga entah seperti lenyap dari memori. Cuma namanya terpahat di dalam hati yang mengingatkan aku masih mencintainya.

                Tiga hari berlalu pantas. Hari ini aku akan berjumpa dengan dengan Cikgu Arman. Atau lebih tepat aku disuruh memanggilnya Arman. Sampai di tempat yang dijanjikan aku menunggu dirinya yang masih belum muncul.

                Dia yang tiba memakai baju jaket hitam mengingatkan aku kepada Syafiq. Betapa setiap kali aku memandang wajahnya aku pasti teringatkan Syafiq. Aku rasa dekat dengan Syafiq setiap kali aku bersamanya. Kenapa?

                ‘Syafiq muncullah. Kalau aku mimpi, jagalah aku!’ Doa aku di dalam hati.

                “Jom.” Ajak Arman. Aku cuma mengangguk. Aku berjalan di sisinya berasak-asak dengan orang ramai yang berjalan di jalan yang padat ini.

                Aku memandang wajah Arman. Terasa bagaikan bayangan wajah Syafiq yang masih kabur disitu. Kenapa? Adakah mata aku yang silap. Tidak. Arman masih beriak biasa walaupun aku merenung wajahnya.

                Tiba-tiba aku merasakan hati aku sakit. Begitu sakit. Aku tak pernah merasakan sakit yang sebegitu. Aku memegang dada. Ya, memang aku sangat sakit. Kemudian aku bagaikan terdengar suatu suara yang berbisik ke telinga aku.

                “Sekarang hati kau luka. Hati kau luka kerana kau terpaksa memilih antara dua. Syafiq atau Arman. Kau kena buat pilihan sekarang!” Keras suara itu memekak di telinga. Aku sudah terhuyung-hayang berjalan bagaikan orang mabuk. Pantas tangan Arman memegang bahuku. Terasa hilang semua sakit di dada.

                Adakah itu bererti aku memilih Arman, tidak!

                ‘Arman maafkan aku. Aku dapat rasakan yang aku akan kembali kepada Syafiq semula. Izinkan aku...’

                “Okay ke?”Tanya Arman. Aku mengatakan aku tiada apa-apa.

                “Izinkan saya luangkan sedikit masa ini untuk dijadikan memori apabila saya ke dunia sebenar. Awak cinta kedua saya.”Aku cuma mampu berbisik kepada angin ayat itu. Mana boleh aku menyakiti diri dia yang langsung tidak tahu apa yang terjadi kepada diri aku.

                Kini aku sedar. Aku memang cintakan Syafiq. Dalam masa yang sama, aku juga cintakan Abang Man ataupun Arman. Di sini aku baru perasan itu semua. Mana mungkin aku memilih abang Man apabila aku sedar dari semua ini. Biar hati aku terbelah dua sekalipun, aku ingin keadaan masih menjadi seperti biasa.

                “Jom pergi sana.” Lurus jari telunjuk Arman menunjuk ke arah hadapan yang semakin padat manusia di situ. Aku mengikut langkahnya. Aku perasan dia ingin memegang tangan aku, namun dia membatalkan niatnya dan menggenggam penumbuknya sahaja. Sakit di dada muncul sekali lagi.

                ‘Oh hati... Aku pilih Syafiq. Jangan diseksa aku lagi dengan kesakitan!’Rayu aku kepada hati.

                Tubuh aku masih mengekori Arman, tapi bukan jiwa aku. Pandangan aku bertukar. Dalam masa yang sama aku seperti melihat Syafiq berjalan bersama aku dan ingin mengenggam tangan aku. Tapi seperti Arman dia membatalkan niatnya itu.

                ‘Baju Syafiq sama dengan baju Arman. Apa semua ini.’ Aku bertanya kepada diri sendiri. Namun aku sendiri tidak tahu. Seolah-olah diri aku terapung-apung, aku melihat diri aku dan Arman dan di sebelahnya aku dan Syafiq. Apa semua ini?

                Tapi aku tidak melihat mereka berdua dalam masa yang sama. Cuma, apabila aku pandang ke arah kiri, aku dan Arman, manakala aku bersama Syafiq di bahagian kanan.

                Tidak lama kemudian, aku terbayangkan segala kenangan aku dan syafiq di dalam kepala aku. Aku semakin jelas melihat dia. Senyumnya. Rajuknya. Segala keletahnya!

                “Aku tahu. Semua antara aku dan Arman sekarang sebenarnya pernah berlaku antara aku dan Syafiq dulu!” Aku bercakap sendiri. Aku terasa bodoh seperti diri dipermainkan. Hati aku semakin sakit. Aku tak tahan.

                Aku terus melencongkan langkah ke sebuah bangunan. Arman aku tinggalkan dan semasa aku memandang ke belakang, aku dapat meihat Arman mengejar aku beserta bayangan Syafiq. Aku segera masuk ke dalam lif dan menekan butang ke tingkat paling atas sekali. Sempat tangan Arman menahan pintu lif daripada tertutup.

                Aku dapat merasakan dirinya sedang memandang aku. Sudah pasti wajahnya sedang keliru dengan apa yang terjadi. Kalau dia keliru, aku lebih keliru!

                Aku cuma membatukan diri dengan melihat pemandangan di luar menerusi kaca lut sinar lif tersebut. Sepi mencengkam suasana. Aku tak mampu memandang wajahnya. Dia atau Syafiq sebenarnya di hadapan aku?

                Aku memejamkan mata. Aku terbayangkan Syafiq memegang kepala aku sambil tersenyum. Dia seolah-olah memujuk aku. Tapi aku tidak mendengar ayat yang diungkapkan.

                Mata aku dibuka semula. Secara paksa, tubuh aku dihadapkan ke arah Arman. Wajahnya sayu memandang aku. Seolah-olah tahu aku akan pergi meninggalkan dia. Kemudian dia mula tersenyum memujuk. Seperti merelakan aku pergi.

                Aku pejamkan mata aku sekali lagi. Aku tak sanggup kalau Arman memegang kepalaku. Bimbang hati aku berat meninggalkan dia. Masa terhenti. Gelap. Kosong. Aku rasa bebas.
..........
                Tiba-tiba aku membuka mata. Memandang siling putih. Memegang kusyen tempat tidur aku. Mimpi? Ini semua mimpi. Aku terus duduk. Termangu-mangu apa yang baru terjadi.

                “Syafiq? Arman?” Aku menghembuskan nama itu dengan perlahan. Mujur bapa aku telah pergi kerja. Mujur juga ibu aku sedang berada di bilik. Aku segera ke dapur dan membasuh muka. Barulah segar.

                Kusyen yang sejak tadi menjadi ‘katil’ dihenyak sekali lagi oleh aku. Aku termenung mencari jawapan.

                “Mimpi di dalam mimpi di dalam mimpi di dalam mimpi.” Aku mengelengkan kepala beberapa kali. Kenapa pelik betul mimpi aku.

                Tengok tv? Papa? Abang Man? Si hitam manis? Adik? Cikgu Ayu? Arman? Sara? Gulai ikan masin? Itu semua mimpi. Tapi macam benar-benar berlaku.

                Semua orang di dalam mimpi aku tidak kenal. Kecuali salah seorang daripada mereka. Dia kawan sekelas aku. Biarlah aku sahaja yang tahu. Yang penting dia bukan Arman.

                Oh, aku tak pernah tengok lelaki sekacak Arman. Memang benar-benar wujudkah pemuda bernama Arman? Dapatkah aku bertemu dengannya?

                ‘Hello wake up! Ini mimpi sajalah.’ Aku cuba marah diri sendiri. Tapi kemudian aku menggigit bibir sendiri. Mana tahu nanti akan terjadi? Mudah-mudahan.

                Aku keliru. Dapat aku rasakan setiap perasaan di dalam mimpi aku sebentar tadi benar-benar belaka. Pandangannya. Gayanya. Degup jantung yang aku dengar. Dan yang paling penting. Betapa kuatnya perasaan aku kepada Syafiq setiap kali aku bersama dengan Arman.

                Cuaca di luar semakin gelap. Aku terpaksa menjalankan misi. Misi mengangkat kain. Selesai sahaja aku mengangkat kain di jemuran, tiba-tiba datang satu idea.

                “Apa kata aku buat cerpen?”Ya buat cerpen. Cerpen memori mimpi aku yang kedua paling sweet. Yang pertama? Biarlah rahsia.

                Aku terus mencapai netbook yang memang sudah ada di atas meja kecil di ruang tamu. Ikon Microsoft Word terus diklik sebaik sahaja netbook dinyalakan. Jari-jemari aku sejak tadi memang sudah tersedia di atas keyboard. Menunggu masa untuk digerakkan.

                ‘Apa tajuk yang sesuai?’ Sekali lagi aku bertanya kepada diri sendiri.

Lima minit kemudian...

“MEMORI tentang DIA DARI HATIKU”

                Ya, itulah cerpen aku. Cerpen yang sedang anda baca.


♪ Satu. Dua. Tiga. Meowww~ ♪

4 ulasan:

  1. aku suka arman. wahahahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha. Okay. Kau jangan tanya aku suka siapa. konpius. xD

      Padam
  2. cehhhh... mimpi indah ye cik Tee... he he he best la :) kita pun pernah mimpi di dalam mimpi di dalam mimp Ngeeee

    BalasPadam